Wednesday, January 5, 2022

PERANAN KURIKULUM TIDAK FORMAL KE ARAH MENCAPAI MATLAMAT PENDIDIKAN MALAYSIA

Kualiti dan ketamadunan sesebuah negara bangsa dipengaruhi oleh sistem pendidikan. Oleh hal yang demikian, seseorang individu akan dianggap mundur sekiranya tiada pendidikan. Dalam konteks ini, kurikulum kebangsaan dan kurikulum sekolah memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat pendidikan di Malaysia. Ini bertujuan bagi mendidik rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berpegang teguh kepada agama, sejahtera diri dan bersedia memberi sumbangan terhadap kemakmuran dan keharmonian keluarga, masyarakat dan negara.

 

         Oleh itu, di dalam kurikulum rasmi terdapat kurikulum tidak formal yang mana terbahagi kepada dua bahagian.  Kurikulum tidak formal ini mengandungi aktiviti kokurikulum dan kurikulum tersembunyi yang bertujuan untuk melengkapkan pembangunan insan yang menyeluruh dan holistik. Seterusnya, perkara yang dimaksudkan dengan kurikulum tersembunyi ialah perkara yang mempengaruhi matlamat pendidikan, amnya terhadap aspek kemahiran, nilai dan budaya. Kurikulum tersembunyi ini tidak mempunyai ciri-ciri khusus malah perkara ini berlaku melalui perancangan dan tanpa dirancang. Berdasarkan Mok Soon San (2008) meliputi segala pengalaman yang dipelajari secara tidak formal, seperti penerapan nilai-nilai melalui peniruan tingkah laku guru, dan penyerapan nilai-nilai murni dalam mata pelajaran, peraturan sekolah, aktiviti bahasa dan budaya sekolah.


Antara peranan kurikulum kebangsaan yang utama ialah melahirkan tenaga kerja mahir, berilmu dan kreatif. Hal ini adalah untuk memastikan bakal pekerja tempatan dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan demi membangunkan ekonomi negara. Contohnya, negara kita amat memerlukan tenaga kerja mahir dalam bidang kejuruteraan dan teknikal agar perkembangan industri di Malaysia dapat ditingkatkan. Kesannya, negara kita dapat melahirkan tenaga kerja mahir yang mencukupi untuk membangunkan nama di persada dunia.


Seterusnya peranan kurikulum kebangsaan yang kedua pula ialah pembentukan masyarakat Malaysia yang bersatu padu. Perkara ini amatlah penting kerana masyarakat kita terdiri daripada bangsa berbilang kaum. Dengan adanya kurikulum kebangsaan, perpaduan dapat dipupuk sejak di bangku sekolah lagi. Semua individu dapat mempelajari bagaimana untuk menghormati budaya kaum lain disamping menjadi masyarakat yang bertolak ansur.


Bagi peranan kurikulum sekolah ke arah mencapai matlamat pendidikan Malaysia pula ialah, mewajibkan setiap murid untuk menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah. Kokurikulum bermaksud aktiviti yang dijalankan di luar waktu persekolahan seperti pada waktu petang selepas tamat waktu persekolahan. Dengan adanya aktiviti kokurikulum, kita dapat melatih diri menjadi seorang pemimpin. Hal ini kerana, setiap badan beruniform atau kelab persatuan akan mempunyai seorang pemimpin yang berwibawa untuk menjadi ketua. Pemimpin yang dipilih pula perlulah bertanggungjawab dalam semua hal. Justeru, sifat kepimpinan ini dapat diasah sejak mereka di bangku sekolah lagi.


Selain itu, kurikulum sekolah juga berperanan dalam menerapkan aspek-aspek ajaran agama yang baik dalam pendidikan di sekolah. Sekolah merupakan institusi pendidikan yang sangat memerlukan suasana beragama. Hal ini kerana, pengajaran dalam kelas semata-mata belum mampu untuk menerapkan nilai murni beragama secara menyeluruh. Justeru, program-program bina insan dan dakwah perlu memainkan peranannya serta persekitaran yang baik juga penting dalam usaha memupuk akhlak murni di kalangan murid murid.

No comments:

Post a Comment

PERANAN KURIKULUM TIDAK FORMAL KE ARAH MENCAPAI MATLAMAT PENDIDIKAN MALAYSIA

Kualiti dan ketamadunan sesebuah negara bangsa dipengaruhi oleh sistem pendidikan. Oleh hal yang demikian, seseorang individu akan dianggap ...