Sistem pendidikan merupakan asas penting bagi membangunkan masyarakat dan negara ke arah yang lebih baik.Sistem pendidikan negara telah mengalami evolusi atau perubahan penting sejajar dengan pembangunan dan kemampuan negara bagi mencapai hasrat FBK.Evolusi pendidikan ini ialah melalui lima fasa iaitu, Zaman Pra Merdeka (sebelum 1957), Zaman Pasca Merdeka (1957-1970), Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000) dan Zaman Dasar Wawasan Negara (2001-kini). Pada Zaman Pramerdeka, ketika British sedang mentadbir, sekolah-sekolah di Tanah Melayu dipecahkan kepada empat aliran iaitu Sekolah Inggeris, Sekolah Melayu, Sekolah Cina dan Sekolah Tamil.Setiap sekolah mempunyai bahasa penghantarannya tersendiri dan kurikulum yang berbeza di antara satu sama lain. Namun menjelang kemerdekaan, timbul kesedaran untuk mewujudkan satu sistem persekolahan. Beberapa jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengkaji sistem persekolahan pada masa itu dan menghasilkan beberapa laporan iaitu, Laporan Bames (1951) yang menyemak dan memperbaiki keadaan pendidikan kaum melayu, Laporan Fenn-Wu (1952) ditubuhkan bagi menyemak pendidikan kaum cina, Ordinan Pelajaran (1952) mengesyorkan sekolah kebangsaan sebagai corak sistem persekolahan kebangsaan dan Laporan Razak (1956) yang meletakkan asas bagi perkembangan sistem pendidikan untuk memupuk perpaduan melalui Sistem Pelajaran Kebangsaan untuk semua, Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama serta kurikulum kebagsaan, sukatan pelajaran dan sistem peperiksaan yang sama bagi semua sekolah.
Pada Zaman Pasca Merdeka (1957-1970), dasar pendemokrasian pendidikan bermula pada 1962 dengan memberi penekanan kepada pendidikan percuma untuk semua pelajar. Dasar ini diperluas dengan mengadakan pendidikan universal selama sembilan tahun apabila peperiksaan pemilihan masuk ke sekolah menengah dihapuskan pada tahun 1964.Penghapusan peperiksaan pemilihan ini menyebabkan peningkatan kadar penyertaan ke sekolah menengah. Kadar ini terus meningkat apabila terdapat perubahan dasar yang melanjutkan pendidikan universal kepada 11 tahun secara berperingkat mulai tahun 1992.
Seterusnya, pada Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah satu falsafah pembangunan yang menekankan keseimbangan antara pembangunan sosial dan perkembangan ekonomi. Dalam tempoh ini, pendidikan diberikan keutamaan untuk menangani masalah ketidakseimbangan dalam masyarakat dengan menyediakan peluang pendidikan yang sama untuk semua kaum. Pada masa ini juga, Sistem Pendidikan Kebangsaaan mengalami banyak perubahan, antaranya Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama yang dilaksanakan sepenuhnya pada peringkat menengah di Semenanjung Malaysia dan Sabah pada tahun 1982, manakala di Sarawak pada tahun 1990.Penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua juga turut diberi tumpuan.Walau bagaimanapun, selaras dengan Akta Pelajaran 1961, sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan yang menggunakan bahasa Cina atau bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar terus dikekalkan.Mata pelajaran Sivik diperkenalkan bagi menyemai semangat jati diri di kalangan pelajar.Pendidikan Sains dan Teknikal diberi lebih penekanan pada peringkat menengah bagi menghasilkan tenaga kerja mahir.Pada tahun 1979, semakan semula pelaksanaan dasar pendidikan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran telah menggariskan cadangan pendekatan dan strategi baru untuk menetapkan sistem pendidikan. Pada tahun 1980-an, peluang pendidikan untuk warganegara turut dipertingkatkan dengan menambahkan kemudahan fizikal dan infrastruktur terutama di luar bandar. Seterusnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah digubah pada tahun 1988 bagi memperteguh hala tuju dan matlamat pendidikan negara. Falsafah ini menekankan pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu bagi membentuk pelajar yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Selain itu, Zaman Dasar Pembangun Negara (1991-2000) menyaksikan perubahan yang pesat dalam pendidikan negara. Asas perundangan bagi pelaksanaan dasar pendidikan dikukuhkan melalui penggubalan dan pindaan beberapa akta yang berkaitan dengan pendidikan, misalnya Akta PendidIkan 1996, Akta Institusi Pendidikan tinggi Swasta 1996, Akta Majlis Pendidikan Tinggi negara 1996 dan lain-lain. Di Samping itu juga, banyak lagi perubahan berlaku dalam bidang pendidikan termasuk, peningkatan akses dalam pendidikan khususnya peringkat tertiari, perkembangan ICT dalam pendidikan termasuk penubuhan Sekolah Bestari pada tahun 1999, menaik tarafkan kelayakan guru-guru daripada sijil kepada diploma, menaik tarafkan Maktab Perguruan Sultan Idris kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris dan menaik tarafkan Sekolah Menengah Vokasional kepada Sekolah Menengah Teknik.
Akhir sekali, bagi Zaman Dasar Wawasan Negara (2001-kini), Sistem Pendidikan Kebangsaan diperkemas sejajar dengan perkembangan dunia teknologi maklumat. Dengan mengambil kira pelbagai perubahan dan cabaran alaf ke-21, penambahbaikan dan pemantapan sistem pendidikan diperlihatkan dalam perundangan, dasar dan program utama, antaranya Akta Pendidikan 1996 , Program Bimbingan dan, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dilaksanakan pada tahun 2003. Bayaran Insentif Subjek Pendidikan diperkenalkan pada tahun 2003, Program j-QAF diperkenalkan pada tahun 2005 dan diperluaskan pada tahun 2006 bagi memastikan murid Islam menguasai Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain apabila tamat sekolah rendah dan banyak lagi program pendidikan diperluaskan.
Hasrat FBK adalah pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Perubahan paling signifikan dalam sejarah perkembangan pendidikan negara untuk mencapai hasrat FBK ialah penubuhan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) pada tahun 2004. Dengan pembahagian ini KPM dipertanggungjawabkan kepada pembangunan pendidikan prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, matrikulasi dan pendidikan guru.
No comments:
Post a Comment