MATLAMAT PENDIDIKAN DI MALAYSIA
• Melahirkan Bangsa Malaysia yang Taat Setia dan Bersatu Padu
• Melahirkan Insan Beriman, Berakhlak Mulia, Berilmu, Berketerampilan dan Sejahtera
• Menyediakan Sumber Tenaga Manusia untuk Keperluan Kemajuan Negara
• Memberi Peluang-Peluang Pendidikan kepada semua Warganegara Malaysia
Matlamat pendidikan di Malaysia adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Menurut Ee Ah Meng (1990 ), matlamat pendidikan di Malaysia dapat ditafsirkan melalui beberapa aspek iaitu terdiri daipada individu, sosial, ekonomi, politik, perpaduan, pengurangan jurang perbezaan, penekanan pendidikan sains dan matematik dan pemeliharaan cara hidup demokrasi.
Dari segi individu, tujuan pendidikan adalah bagi meningkatkan perkembangan individu yang yang seimbang dari segi mental, emosi, jasmani, moral dan estetik. Seterusnya melalui sosial, individu dididik bagi memahami warisan ekologi dan budaya, nilai-nilai serta amalan-amalan sosial. Oleh itu, individu dapat menjalankan tanggungjawabnya terhadap negara sebagai seorang warganegara. Dari segi ekonomi, dapat dilihat matlamat ini bagi melahirkan individu yang mahir dalam menjadi seorang pekerja yang produktif.
Dari segi politik , memberi penerapan mengenai pemahaman dan penerimaan prinsip dan cita-cita unggul demokrasi berperlembagaan. Penerapan nilai-nilai taat setia kepada negara, serta menyedari hak dan tanggungjawab sebagai warganegara dalam sebuah negara demokratik. Dari segi perpaduan, ia merupakan tunjang kepada kesejahteraan negara. Oleh itu , melalui sukatan pelajaran yang sama harus digunakan di sekolah-sekolah. Bahasa pengantar iaitu bahasa Malaysia digunakan di semua sekolah kebangsaan untuk membolehkan semua rakyat berhubung dengan mudah di antara satu sama lain.
Matlamat pendidikan juga bertujuan untuk mengurangkan jurang perbezaan dalam pendidikan pelajar-pelajar. Jurang perbezaan dalam pendidikan wujud terutamanya antara golongan murid yang berada dengan golongan murid bawahan. Subjek Sains dan Matematik telah difokuskan pada masa kini. Matlamat pendidikan telah memberi penekanan kepada subjek ini di sekolah-sekolah di seluruh negara bagi memenuhi aspirasi masyarakat yang progresif. Akhirnya Matlamat pendidikan berkaitan dengan pemeliharaan cara hidup demokrasi. Ini bertujuan melahirkan individu yang akan menjadi ahli masyakarat yang bertanggungjawab dan berusaha bersama kea rah mewujudkan masyarakat yang progresif, adil dan saksama.
PERUBAHAN KURIKULUM DALAM PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA
Kurikulum di Malaysia sentiasa mengalami perubahan dan perkembangan bagi membina dan meningkatkan kualiti kurikulum dalam sistem pendidikan negara. Kurikulum sentiasa digubal bagi membentuk kurikulum yang sesuai selaras dengan pembangunan negara. Perubahan perkembangan bererti wujudnya unsur atau elemen perubahan dalam sesuatu kurikulum itu tetapi perubahan itu adalah bercorak pembaharuan kepada yang lama dan dalam konteks kurikulum yang telah dibentuk. Setiap perubahan yang dilaksanakan mempunyai objektif dan bentuknya tersendiri.
Perubahan kurikulum dalam perkembangan pendidikan di Malaysia bermulanya dari KBSR dan KBSM yang didasari oleh falsafah dan matlamat pendidikan negara yang mana ia menentukan arah haluan, asas dan sumber inspirasi kepada semua usaha dan rancangan dalam bidang pendidikan. Pelaksanaan dasar pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dilaksanakan di semua sekolah rendah mulai tahun (1983). Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) turut dilaksanakan di semua sekolah menengah mulai tahun (1989).
Perubahan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) pada tahun 2011 adalah merupakan pengukuhan dan penambahbaikan kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) . KSSR masih mengekalkan prinsip KBSR iaitu perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan yang sama untuk semua murid, pendekatan bersepadu dan pendidikan seumur hidup. Tujuan perubahan ini adalah untuk memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi cabaran abad ke-21. Penubuhan KSSR adalah untuk melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kreatif, kritis dan inovatif melalui tunjang-tunjang komunikasi, sains dan teknologi, perkembangan fizikal dan estetika, keterampilan diri, kemanusiaan dan kerohanian, sikap dan nilai.
Manakala perubahan kepada KSSM 2017 yang menggantikan KBSM merupakan kurikulum yang di hasratkan dapat mengembangkan lagi potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani secara menyeluruh dan bersepadu ke arah melahirkan individu yang seimbang dan berupaya memberi sumbangan kepada kesejahteraan dan keharmonian keluarga, masyarakat dan negara. KSSM digubal bagi memenuhi keperluan dasar baharu di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 agar kualiti kurikulum yang dilaksanakan di sekolah menengah setanding dengan standard antarabangsa. Dengan pelaksanaan KSSM ini, ia meningkatkan kualiti pendidikan diperingkat menengah agar menjadi lebih rasional dan relevan dengan cabaran abad ke-21 ini.
Perubahan demi perubahan telah berlaku dalam kurikulum pendidikan di negara kita. Selaras dengan perubahan arus permodalan negara yang menuju kearah sebuah negara maju serta mempunyai rakyat yang berpendapatan tinggi, sudah pasti sokongan yang amat kuat diperlukan dalam sistem pendidikan. Oleh yang demikian, dalam merangka perubahan kurikulum pelbagai aspek harus dilihat sebelum sesuatu keputusan itu dibuat dan dapat dilaksanakan dengan baik. Peranan semua pihak amat penting terutama mereka yang secara terus berhadapan dengan kurikulum serta sentiasa bersedia menerima sesuatu perubahan.
No comments:
Post a Comment